Friday 22 April 2011

PDK perlu khidmat ramai sukarelawan

SALAK TINGGI - Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Rumah Payung Bandar Baru Salak Tinggi (BBST) memerlukan khidmat tambahan sukarelawan dalam membantu operasi pusat berkenaan mengurus dan memberi didikan kepada ahlinya.

Pengerusi Rumah Payung BBST, Tengku Normazini Raja Kemeluddin berkata, khidmat sukarelawan perlu bagi membantu PDK memberi perkhidmatan terbaik bagi kanak-kanak kurang upaya yang mendapat latihan di situ memandangkan jumlah pelatih yang semakin bertambah.

“Setakat ini kita mempunyai seorang penyelia dan dua guru yang bertanggungjawab menyelia dan melatih pelatih OKU, sedangkan terdapat kira-kira 34 pelatih terdiri daripada kanak-kanak istimewa yang memerlukan perhatian dan bantuan masyarakat komuniti,” katanya ketika ditemui semasa Program Lawatan dan Sumbangan Persatuan Wanita Majlis Perbandaran Sepang di sini.

Menurut Normazini, bersesuaian dengan kewujudan PDK, yang memerlukan kerjasama dan penglibatan komuniti, kehadiran lebih ramai sukarelawan pasti menjadikan kewujudan PDK lebih bererti dalam sesebuah komuniti di kawasan Salak Tinggi berkenaan.

Sehingga kini kita ada seramai Sembilan sukarelawan yang selalu hadir menghulur sumbangan tenaga dan galakan kepada operasi PDK ini. Kami mengalu-alukan lebih ramai sukarela yang sudi memberi sedikit masa dan tenaga untuk PDK rumah payung,” katanya.

Mazini menambah, PDK merancang banyak aktiviti untuk menambah dana dan Tabung PDK termasuk projek taman herba yang sedang diusahakan kini.

Sementara itu, pada program berkenaan, Persatuan Wanita Majlis Perbadaran Sepang (MPSepang) menyumbangkan sebuah televisyen plasma dan barangan cenderamata untuk anak-anak PDK.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Wanita MPSepang, Zuraidah Dahari berkata, kunjungan persatuan itu adalah antara program tanggungjawab sosial korporat selain dalam usaha memberi kesedaran kepada ahli persatuan tentang kewujudan insan istimewa yang memerlukan perhatian masyarakat.

Menurutnya, persatuan berkenaan turut merancang beberapa program sepanjang tahun ini berbentuk program amal dan kebajikan untuk ahlinya yang kini menjangkau seramai 150 orang.

No comments:

Post a Comment